Friday, 14 September 2012

Dashyatnya hukuman Tuhan


 Doa berdasarkan Yesaya 19: 1-25

Dalam petikan ini, Tuhan memberikan pesan kepada Mesir. Dia akan menghukum Mesir kerana kesombongan  dan dosa-dosa mereka. Tetapi Tuhan itu berbelas kasihan dan maha pengampun, Dia menghukum tetapi selepas itu, Dia mengampuni Mesir, dan akan ada orang Mesir yang mengenal dan menyembah kepadaNya. 


DOA:

Ya Tuhan, buatlah semua penduduk dunia gementar akan Engkau. Buatlah semua penyembah-penyembah berhala  kembali kepadaMu dan gementar kepada Engkau sahaja.

Berilah perdamaian dalam setiap keluarga di bumi ini.

Berilah perdamaian antara negeri dan negara.

Buatlah semua penduduk bumi meminta nasihat dan petunjuk dari Engkau sahaja kerana mereka percaya kepadaMu.

Jangan biarkan kami semua tenggelam kerana masalah kami tetapi buatlah kami datang kepadaMu dan berseru kepadaMu dan jawablah doa dan seruan kami dan kami akan memuji dan memuliakan namaMu.

Jangan biarkan kami menganggap diri kami lebih bijaksana daripada orang lain dan Engkau kerana hanya Engkaulah yang bijaksana.  Engkaulah yang memberikan kami hikmat.

Kepada yang telah tersesat jalan, buatlah mereka kembali kepada jalanMu.

Buatlah semua penduduk bumi menyembah hanya kepadaMu ya Tuhan Yesus. Buatlah kami semua menjadi seperti seorang wanita yang pengecut dan penakut di hadapanMu.

Nyatakanlah diriMu kepada mereka yang belum mengenal Engkau dan mereka akan mengenalMu dan menyembahMu.

Buatlah kami orang berdosa ini berbalik kepadaMu dan Engkau akan menyembuhkan kami. Biarlah kami beribadat kepadaMu sepanjang dalam hidup kami. Buatlah kami saling memberkati satu sama lain dan mulut kami akan mengucapkan puji-pujian kepadaMu.

Terpujilah dan mulialah namaMu ya Tuhan. Engkaulah satu-satunya Allah yang agung dan mahamulia. Terpujilah namaMu Tuhan Yesus Kristus, raja segala raja!  Biarlah Engkau dipuji dan dimuliakan selama-lamanya. Di dalam nama Yesus, saya berdoa. Amin.



No comments:

Post a Comment