Tuesday 5 April 2016

Saya berdoa untuk hujan. Selepas berdoa, terjadi sesuatu yang menakjubkan.

Cuaca tahun ini memang panas. Melampau panasnya.

Bilik saya tidak mempunyai pendingin udara. Hanya mempunyai sebuah kipas siling. Bilik saya tidak dikelilingi dengan kayu ataupun rumput. Yang ada cuma jalan raya, dan tempat letak kereta yang diturap.

Malam itu, saya berasa malas untuk berdoa. Tetapi saya paksa diri saya.  Saya berdoa dengan cara menyanyikan doa-doa saya kepada Tuhan. Saya berdoa juga supaya Tuhan menurunkan hujan.  Memang cuaca pada masa itu sangat sangat panas.

Beberapa lama kemudian, saya terdengar sesuatu bunyi di langit. Saya terkejut. Bunyi guruh! Saya terkejut kerana, saya yakin Tuhan telah menjawab doa saya.  Selepas guruh pertama, kedua, ketiga, kilat pula mula kelihatan. Walaupun belum hujan, tetapi saya kongsikan dengan seorang kawan, "Tuhan itu berkuasa. Tadi saya berdoa untuk hujan, sekarang saya dengar guruh dilangit." Saya dengan iman menghantar mesej itu walaupun saya sempat berfikir, "kalau saya hantar mesej ini tetapi akhirnya tidak hujan?"

Selepas beberapa ketika, hujan mula turun. Puji Tuhan! Guruh pula tidak henti-henti berbunyi. Kilat pula sabung menyabung. Saya berfikir, " Siapa saya ini sehingga Tuhan yang Mahakuasa mendengar doa saya?" Saya takut juga kerana bunyi guruh sangat kuat dan saya boleh melihat kilat menyambar di langit. Sangat menggerunkan hati saya.

Saya berdoa lagi dan membaca Alkitab. Tiba-tiba pula lampu bilik saya terpadam. Suis ditendang kerana guruh yang sangat kuat.  Saya tambah takut lagi. Tetapi Tuhan tahu saya takut.  Saya cakap dengan Tuhan, "saya takut".  Selepas itu bilik saya menjadi terang. Tuhan hantar lampu tepat pada masanya.

Selepas bilik saya diterangi oleh lampu, saya terus membaca Alkitab dan berdoa lagi. Selepas itu, saya tutup lampu dan tidur tetapi langsir bilik saya terbuka.

Dengan baring di atas katil, saya boleh melihat kilat yang sangat terang, menyambar di langit.  Betul-betul didepan mata saya.  Saya takut.  Saya boleh bayangkan, Tuhan itu Mahakuasa. Tiada siapa yang akan tahan berdiri di hadapan-Nya.

Saya ambil masa untuk terlelap kerana kilat dan guruh itu.  Akhirnya saya tertidur dan apabila saya bangun, hujan sudah berhenti. Saya bangun agak lewat kerana tidur lewat. Tetapi puji Tuhan! Ketika saya punch in card saya, jam betul-betul berada di 7.30. Saya tidak lewat dari masa yang dietapkan! Puji Tuhan.

Walaupun tidur lewat, tetapi saya bertenaga menjalankan tugas saya kerana Tuhan memberikan kekuatan kepada saya.

Pengajaran: Tetaplah taat kepada Tuhan. Berdoalah selalu. Tuhan itu Maha Pengasih. Dia yang Mahabesar tetapi mendengar doa kita yang lemah ini. Dia tidak pernah meninggalkan kita.  Kita mesti percaya kepadaNya.  Dengan percaya kepadaNya dengan sepenuh hati, itu menyenangkan hatiNya. Apabila kita rasa malas untuk berdoa, membaca Alkitab, tetaplah memilih untuk bercakap dengan Tuhan.  Dia tidak mahu kita berpaling daripadaNya.  Terima kasih Tuhan.